Saturday, June 25, 2011

~ Kalau Encik Boleh Tolong Terangkan pada Anak-anak Saya ~


Suatu pagi yang tenang, di dalam sebuah komuter.. Kelihatan seorang lelaki sekitar lewat 20-an, Azwan, memasuki salah satu gerabak saat ia berhenti di sebuah stesen. Dia masuk bersama-sama dua orang anak lelaki, mungkin berusia 4 dan 6 tahun..

Sebaik sahaja dia melabuhkan diri di sebuah kerusi, tanpa menghiraukan anak-anaknya.. Azwan terus memejamkan mata. Wajahnya kelihatan penat, langsung saja melelapkan mata. Si anak pula apa lagi, ligatlah bermain-main dua beradik itu ke hujung dan ke hilir gerabak. Dek kerana suasana yang kurang sesak, memang agak senanglah untuk mereka berlari kesana-kemari.

Mula-mula berlumba lari, si adik kalah lalu marah-marah, meradang. Pastinya suasana yang tenang tadi menjadi bingit dan merimaskan penumpang lain. Masing-masing memandang saja si ayah yang kelihatan lena melelapkan matanya.

Kemudian, mereka berlumba pula memanjat tiang di dalam gerabak tersebut. Si abang pula yang kalah, geram, lalu dicapainya majalah seorang penumpang yang sedang membaca - dan terjatuh. Kelihatan puas hati di wajahnya. Mahu dimarahi, cuma budak kecil.. Malangnya si adik pula terasa tercabar. Kalau abangnya boleh buat begitu, pasti dia pun boleh!

Si adik pun buatlah hal yang sama. Kali ini surat khabar penumpang lain menjadi mangsa - dan terjatuh juga. Penumpang lain yang melihat sekadar menggelengkan kepala, dan menyimpan bahan bacaan mereka! Dua beradik itu masih lagi aktif.. Bermain-main.

Akhirnya seorang penumpang lalu cuba menegur Azwan. Ditepuknya peha Azwan, terkejut dari lelapnya. Sambil cuba menahan rasa geram dia berkata dengn baik, "Maaf saudara, anak-anak saudara sangat mengganggu kami!"

Azwan terpinga-pinga, sebentar kemudian dia cuba bangun. Tapi seakan-akan tiada kekuatan, dia terduduk kembali. Tiba-tiba, wajah Azwan kemerah-merahan.. Lalu terluah airmata jantannya. Si lelaki yang menegur tadi mula serba salah. "Maaf saudara.. Saudara ade masalah ke?"

Akhirnya Azwan membuka cerita..

Katanya, sebenarnya dia dan anak-anaknya dalam perjalanan ke hospital. Isterinya sedang terlantar sakit di sana - setelah disahkan mempunyai ketumbuhan di bahagian otak. Sejak itu, isterinya terpaksa ditahan di hospital dan diletakkan di bawah pemeriksaan rapi. Oleh itu, kanak-kanak tidak dapat dibenarkan melawatnya sebagai langkah keselamatan.

Setelah berminggu-minggu, si anak-anak sangatlah merindukan ibunya. Dan ibunya pula apatah lagi. Azwan bagaikan berada di tengah-tengah.. Dilema. Ingin saja dia menemukan anak-anaknya dengan isterinya di hospital, tetapi tidak dibenarkan oleh doktor. Akhirnya si anak-anak mula menjadi murung, tidak berselera makan.. Dan asyik bertanyakan tentang ibunya. Isterinya pula semakin hari menjadi semakin lemah, dan sangat merindukan anak-anaknya.

Kerana terlalu rindu, isteri Azwan pernah memberitahunya, jika pun dia perlu membayar wang semata-mata untuk dibenarkan berjumpa anak-anaknya, dia sanggup! Dia meminta Azwan mengeluarkan semua simpanan mereka untuk membayarnya!

Azwan terus mendesak dan mendesak doktor.. Akhirnya dibenarkan, tetapi tidak boleh lama. Lalu dia terus pulang ke rumah, mendapatkan anak-anaknya.. Dan memberitahu berita gembira itu - mereka akan bertemu si ibu esok! Lalu melompat kegembiraanlah dua beradik itu. Terus berselera makan, menyanyi-nyanyi.. Malah si abang siap melukiskan sesuatu untuk ditunjukkan kepada ibunya keesokan hari.

Si adik pula terus mencari-cari pakaian tercantik yang mana ingin dipakai. Sepanjang malam, bertalu-talu soalan diajukan kepada Azwan oleh anak-anaknya, tentang ibu mereka. Akhirnya mereka terlelap juga, lewat malam.

Keesokannya, hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Azwan pulang dari kerjanya pada waktu tengahari, untuk menjemput anak-anak. Sampai saja di pintu rumah, anak-anaknya telah pun siap! Akhirnya Azwan sendiri tak sempat berehat dan menukar pakaiannya, terus saja keluar menuju ke stesen komuter.

Namun, siapa sangka.. saat mereka ingin keluar, Azwan mendapat panggilan daripada hospital - menyatakan isterinya baru saja menghembuskan nafasnya yang terakhir!

Hancur luluh hatinya, terus kelu lidahnya, langsung kaku jasadnya. Azwan buntu, tidak tahu apa yang harus dilakukan, apa yang harus diberitahu kepada anak-anaknya.. Dia benar-benar tersentak dan sebak, apalagi melihatkan kegembiraan pada wajah anak-anaknya untuk bertemu ibu mereka.

Akhirnya Azwan tetap ke stesen komuter, dan menuju ke hospital - dengan fikiran yang kosong. Kerana itulah dia langsung duduk dan cuba menenangkan dirinya. Dan membiarkan saja anak-anaknya terus gembira. Dia tak mempunyai perkataan untuk menjelaskan kepada mereka bahawa si ibunya telah tiada!

Lelaki yang menegurnya tadi sangat tersentuh. Terasa bersalah kerana menegur tadi. Perasan geram dan marahnya terhadap si anak-anak itu tadi, terus bertukar menjadi sayang, sayu dan kasihan.. "Kalau encik boleh tolong terangkan kepada anak-anak saya, silakan.. Saya memang tak tahu macamana nak bagitahu mereka..", akhiri Azwan.

...

Begitulah kisah yag sangat menyentuh perasaan itu. Lelaki tadi yang mulanya tersangat marah dengan kerenah si anak-anak kecik yang nakal, akhirnya bertukar menjadi sayang dan sayu - kerana dia tahu akan perkara yang sebenarnya. Tetapi bagaimana pula dengan penumpang lain, yang masih tidak tahu? Pastinya rasa marah itu masih berbuku di hati mereka. Itulah bezanya antara orang yang mengetahui, dan yang tidak mengetahui.

"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dan orang-orang yang tidak mengetahui?" (Az-Zumar:9)


p/s; Kisah ini dikongsi oleh seorang penceramah di tapak pesta konvo UTM. Wallahu'alam.

Sumber di ambil disini.

2 comments:

nurul atiqah mohd azman said...

sobs...makin rindu dgn ibu saya...

nur ashikin said...

huu.. b'sabar ye.. thn dpn nk blek da kn.. skjp je tu.. hee...